Monday, April 14, 2008

Konsep Persaudaraan Islam

KEPENTINGAN KONSEP PERSAUDARAAN DALAM ISLAM

Secara konseptualnya, persaudaraan (ukhuwwah) merupakan asas kepada kesatuan umat manusia dalam sesebuah entiti masyarakat. Citra dan hati budi seseorang itu bukan bergantung kepada bangsa, warna kulit, keturunan, pangkat atau hartanya, tetapi diukur berasaskan ketinggian budi pekerti yang terpuji. Dalam kerangka persaudaraan ini, interaksi sosial sesama manusia perlu mengikut adab-adab yang telah digariskan oleh Islam. Bagi mencerminkan persaudaraan menurut lunas-lunas syara’ maka konsep persaudaraan ini perlu didasari dengan ikatan akidah yang luhur dan mantap.

Oleh yang demikian, konsep persaudaraan yang berteraskan ikatan rabbani menjadi asas dan instrumen yang efektif kepada perpaduan seluruh umat Islam. Ini kerana, ikatan rabbani bersifat universal dan bersifat kualitatif tanpa mengira perubahan masa dan zaman. Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w, Baginda telah berjaya membentuk satu masyarakat yang bersatu padu dan harmoni antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Baginda telah memainkan peranan penting dalam mengimbangi hubungan intergrasi yang bersepadu antara masyarakat Islam dengan kaum Yahudi dan Nasrani.

Antara objektif konsep persaudaraan ini adalah bagi memenuhi konsep saling lengkap melengkapi (simbiosis) sesama insan dalam suasana yang harmoni. Sekiranya dibuka lipatan sejarah permulaan Islam, dinukilkan konsep persaudaraan yang ditunjukkan oleh golongan Ansar dan golongan Muhajirin sewaktu peristiwa Hijrah Kubra. Peristiwa ini perlu dihayati dan diperhalusi dalam membentuk kerangka prinsip persaudaraan oleh masyarakat Islam kini. Kepentingan konsep persaudaraan sangat ditekankan kepada umat manusia dalam mengimbangi tuntutan hablu min al-Allah (hubungan dengan Allah) dan hablu minannas (hubungan sesama manusia).

Justeru itu, sekiranya manusia menghayati konsep persaudaraan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, maka ia akan melahirkan sebuah peradaban manusia yang unggul. Sebagai natijahnya, ia akan membentuk masyarakat yang bersatu padu dan akhirnya akan membentuk bangsa yang kuat. Antara sebab kejatuhan kegemilangan tamadun silam adalah disebabkan tidak ada kesatuan sesama Islam. Umat Islam pada ketika itu, dibelenggu dengan krisis sentimen aliran mazhab. Masing-masing cuba menonjolkan kewibawaan pendapat pelopor mazhab yang didokong, dan akhirnya wujud bibit-bibit perpecahan sehingga mengeruhkan perpaduan di kalangan umat Islam. Sebaliknya, perselisihan pendapat di kalangan para ulama’ satu rahmat, bagi umat Islam namun disalah tafsirkan sehingga meniupkan api ekstrimis sehingga boleh mencetuskan perpecahan.


Umumnya, di Malaysia masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, peringkat usia, taraf kedudukan, pangkat dan kebolehan ilmu pengetahuan serta pelbagai sistem agama dan kepercayaan. Bagi menjamin dan menjaga keharmonian institusi masyarakat, setiap anggota dalam masyarakat perlu memahami konsep dan peraturan hidup masyarakat. Islam mempunyai prinsip dan acuan tersendiri dalam konteks kemasyarakatan khususnya dalam nilai persaudaraan seperti berikut:


1. Persaudaraan (ukhuwwah) menjadi wasilah atau mekanisme untuk mendekatkan diri pada Allah dan RasulNya.

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya:
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.”

Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w menyebutkan cara yang sepatutnya kita membantu orang yang kurang berada dan berkongsi menggunakan sesuatu kemudahan. Baginda bersabda yang bermaksud:

“Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah, jika ia tidak mampu, hendaklah ia berusaha melakukan sesutu yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan demikian ia dapat bersedekah. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menolong orang susah yang memerlukan bantuan. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menyuruh orang lain melakukan kebaikan. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap suatu sedekah”.
(riwayat Ahmad)



Justeru itu, berpegang kepada kehendak ayat al-Quran dan hadis, Nabi menyeru kepada umat manusia mengamalkan nilai-nilai murni demi mengukuhkan semangat perpaduan. Sesungguhnya, pengajaran yang terdapat sumber Ilahi mempunyai rahsia-rahsia yang tersembunyi dan manfaat yang sangat berguna kepada manusia. Semua amalan murni yang ditekankan dalam teks al-Quran di atas bertujuan untuk mencapai objektif keredhaan Allah dan dalam masa yang sama menjaga hubungan manusia sesama manusia.


2. Persaudaraan merupakan keperluan bersama iaitu saling lengkap-melengkapi dan bantu membantu antara muslim dengan muslim yang lain.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

"Jika sekiranya seorang daripada kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari ia beriktikaf selama 2 bulan di dalam masjidku"

Hadith riwayat al-Hakim dan ia mengatakan sanadnya sahih. Rasulullah cuba menyeru seluruh umatnya untuk mengimplimentasikan ruh persaudaraan ini dalam kehidupan semasa. Baginda sendiri telah mengiktiraf ganjaran berlaku ihsan sesama muslim bagi mengisi maksud ukhuwwah ini berbanding ibadah di dalam masjidnya. Hal ini jelas memberi isyarat kepada kita, bukanlah ibadah di tempat sujud saja yang dipentingkan oleh Islam, bahkan hubungan sesama manusia itu juga dipentingkan sehingga ianya setara dengan perkara-perkara ibadah asas bagi setiap muslim.

Imam al-Ghazali memberi pandangan bahawa hak seorang muslim ke atas muslim yang lain ialah memberi pertolongan kepada saudaranya yang mempunyai hajat dan keperluan mengikut kemampuan mereka. Pandangan ini menjelaskan bahawa wajib memberi pertolongan kepada saudara-saudara yang dalam kesulitan tanpa menunggu permintaan dari mereka. Bantuan yang diberikan mengikut kadar kemampuan masing-masing. Setiap individu wajib menghormati dan mengasihi saudaranya. Dalam satu riwayat Nabi yang bermaksud:

“Bukanlah dari umatku sesiapa yang tidak menghormati saudaranya yang lebih tua, dan yang tua tidak mengasihi saudaranya yang lebih muda”
(riwayat al-Tarmizi)


3. Persaudaraan dapat memupuk nilai dan etika pergaulan sesama manusia.

Nabi merupakan contoh tauladan yang unggul untuk diikuti oleh manusia sama ada yang melibatkan hubungan dengan Allah, sesama manusia dan hubungan dengan alam sekeliling. Menyentuh tentang adab dan etika pergaulan sesama manusia, setiap individu dalam masyarakat mempunyai obligasi yang tertentu untuk dilaksanakan. Ruang lingkup dan batas pergaulan sesama manusia perlu mengikuti tatasusila dan kodifikasi yang ditunjukkan oleh rasulullah s.a.w. Nilai-nilai murni yang yang ditunjukkan oleh bagianda perlu dihayati dengan terperinci dan dipraktiskan bertujuan untuk memelihara keutuhan dan keharmonian dalam masyarakat. Kelembutan dan kesantunan budi pekerti yang ada Baginda bukan sahaja dikagumi oleh masyarakat Islam bahkan disegani di kalangan musuh Rasulullah.

Bagi menjamin perpaduan dan keharmonian dalam sesebuah komuniti, Nabi menegaskan hubungan yang baik dan mesra perlu dikekalkan dalam hubungan interaksi sesama manusia. Sikap melukakan atau mengguris perasaan seseorang perlu dielakkan dalam hubungan berkomunikasi. Laras bahasa yang digunakan semasa bertutur perlulah mempunyai nilai-nilai positif dan memberi manfaat kepada pihak pendengar. Justeru itu, perkataan dan peri laku yang memberi konotasi negatif di tegah dalam ajaran Islam. Adalah menjadi kewajipan kepada setiap muslim menjauhkan dari sesuatu yang boleh menyumbangkan impak negatif kepada perkara-perkara yang boleh menjejaskan hubungan persaudaraan.

4. Persaudaraan merupakan obligasi sosial yang merangkumi kewajipan-kewajipan ringkas yang perlu dilaksanakan.

Perkara ini ditegaskan sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
"Tanggungjawab seorang muslim kepada muslim yang lain ada 6 perkara”,
i. Apabila bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam.
ii. Apabila ia menjemputmu, maka penuhilah jemputannya.
iii. Apabila ia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya.
iv. Apabila ia bersin dan bertahmid, maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertashmit (berdoa).
v. Apabila ia sakit hendaklah engkau menziarahinya. vi. Apabila ia meninggal dunia, hendaklah engkau mengiringi jenazahnya".
(hadith riwayat Muslim)


Dalam sebuah hadis ada menyebut tentang kerjasama dan bertimbang rasa dengan jiran dan sahabat-handai. Sabda Nabi s.a.w. yang maksudnya:
“Hak jiran jika ia sakit hendaklah diziarahi, jika ia meninggal dunia, hendaklah dihebahkan kematiannya, jika ia minta pinjam hendaklah diberi pinjam, jika ia berada dalam kesusahan hendaklah menolongnya. Jika ia mendapat kebaikan hendaklah mengucapkan tahniah, jika ia ditimpa kesedihan hendaklah mengucapkan takziah, janganlah engkau meninggikan binaan rumah engkau melebihi binaan rumahnya kerana itu akan menghalang angin ke rumahnya. Janganlah engkau mengganggu dengan bau masakanmu kecuali engkau berikan sedikit kepadanya.” (riwayat al-Munziri)

Begitu juga dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh al-Hakim yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengharamkan atas orang Mukmin darah, harta dan harga diri sesama Mukmin, dan (mengharamkan) berprasangka buruk kepadanya”

Sekiranya dikaji dan dianalisis tuntutan yang terdapat dalam hadis di atas jelaslah beberapa garis panduan dan etika pergaulan secara umum yang ditekankan oleh Rasulullah. Oleh yang demikian, jika manusia melakukan pelanggaran kewajipan tersebut menyebabkan berlakunya kecacatan dalam hubungan persaudaraan. Bentuk perhubungan yang disarankan oleh Baginda perlu dijadikan sebagai batu asas dalam usaha pengukuhan pembentukan ummah.


5. Persaudaraan juga merupakan jalinan kemesraan dan kasih sayang.

Hal ini ditekankan oleh Rasulullah, seperti yang dipetik dari hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmidhi dan Nasa’i,

"Janganlah kamu saling memutuskan silaturrahim, janganlah kamu saling belakang membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad menghasad. Sebaliknya jadilah kamu hamba hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi 3 hari".

Dalam hadis lain Nabi s.a.w menyebut :

“Orang Islam itu bersaudara, tidak boleh menzalimi dan mengkhianatinya. Sesiapa yang menolong saudaranya, nescaya Allah akan menolongnya. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam nescaya Allah akan menghilangkan daripadanya kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.”
(riwayat Ahmad)


Dalam kita mengejar urusan dunia, kita sering lalai dan melanggari batas-batas hubungan sesama manusia. Perkara umpat mengumpat, kata-mengata, fitnah memfitnah amat jelas terjadi dalam kehidupan harian. Maka hendaklah kita ambil iktibar dari hadith ini untuk menjaga kemaslahatan ukhuwwah umat Islam itu, kelak hal ini jika tidak dijaga, maka ia akan menimbulkan pertelingkahan sesama muslim pula. Juga disebut dalam hadis Rasulullah akan tuntutan menunjukkan kemesraan dalam komunikasi harian sesama manusia,

"(Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)."
(Hadis riwayat Muslim)

Malah Yusuf al-Qaradhawi dalam karyanya “Wabak Kemiskinan Dan Cara-cara Islam Merawatinya, 1988” menjelaskan, Islam menjadikan orang yang ada hubungan persaudaraan dan pertalian kaum kerabat sebagai golongan yang bersatu padu dan saling memikul tanggungjawab bersama. Individu yang kuat membantu yang lemah dan yang kaya pula membantu yang miskin. Itulah yang mendorong mereka kepada saling bersimpati dan tolong–menolong serta mengukuhkan ikatan antara mereka. Jelaslah di sini menunjukkan betapa Islam itu menekankan peri pentingnya komponen-komponen asas bagi menerapkan roh persaudaraan di kalangan umatnya. Oleh yang demikian sekiranya asas-asas ini dicemari dengan elemen yang boleh menjejaskan keharmonian dalam persaudaraan maka ia akan melahirkan satu entiti masyarakat yang bersifat individualistik. Ini disebabkan pembangunan manusia didorong kepentingan material dan tidak diseimbangkan dengan pembangunan insan yang ideal.


6. Persaudaraan dapat memupuk ke arah pengukuhan perpaduan dan keamanan.

Perpaduan dan keamanan yang dinikmati oleh masyarakat Malaysia pada hari ini menerusi persaudaraan, perpaduan dan keharmonian hidup di kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan. Nikmat-nikmat mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan diwarisi oleh generasi semasa dan akan datang. Perkara-perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat perlu dijauhi.

Untuk mengekalkan keharmonian ini, masyarakat perlu berpegang kepada nilai-nilai hidup yang murni yang berupa kasih sayang, hormat menghormati, bersatu padu dan sebagainya. Keperluan kepada nilai ini perlu dibudayakan oleh setiap lapisan masyarakat dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dalam semua perkara. Tanpa perpaduan yang erat akan mewujudkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan mengundang kepada perpecahan. Masyarakat yang lemah bermula dengan konflik persaudaraan yang wujud dalam sesebuah negara dan akhirnya ia akan melahirkan bibit perpecahan dalam interaksi perhubungan komuniti. Oleh yang demikian, unsur-unsur negatif yang boleh mewujudkan perpecahan di kalangan masyarakat merupakan virus yang sangat berbahaya kepada manusia. Sindrom sedikian perlu dibasmi dan dicegah sebelum merebak secara berleluasa dalam sesebuah masyarakat.

Kesimpulannya. penerapan nilai dan etika persaudaraan sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam dapat mengeratkan perpaduan dan keutuhan dalam komuniti masyarakat. Perpaduan merupakan paksi utama kepada kesatuan dan akan melahirkan generasi bersatu padu dalam kelompok masyarakat yang progresif dan dinamik. Justeru itu, dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai variasi kaum, agama dan bangsa penerapan nilai-nilai murni sebagaimana yang yang dianjurkan oleh ajaran Islam perlu dihayati dan diasimilasikan dalam realiti masyarakat majmuk. Oleh yang demikian, sekiranya nilai-nilai murni diketepikan oleh masyarakat, maka lahirlah generasi yang bersifat individualistik. Bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan politik yang baik, perpaduan merupakan resepi dan adunan yang terbaik dan kunci utama khususnya bagi rakyat yang berbilang kaum. Sebagai rakyat yang tinggal di negara Malaysia, kita perlu berterima kasih kepada pihak kerajaan dalam mengekal dan menjamin keamanan serta perpaduan di kalangan rakyat. Tanpa elemen perpaduan, mustahil rakyat Malaysia dapat mengecapi nikmat kemakmuran dan keharmonian seperti yang kita kecapi hari ini. (Abu Rushd)

1 comment:

Anonymous said...

mohon share..tq

`Ibrah Covid 19. Suluhan Daripada Perspektif Islam

Assalamualaikum dan bertemu lagi. sudah lama saya tidak menjengok ke blogni. Harini rasa bersemangat semula untuk melihat blog yang sudah se...